Kes baharu melonjak semula

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, melonjak kepada 5,566 kes berbanding 4,774 – naik sebanyak 792 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan kumulatif kes positif meningkat kepada 2,876,324 kes, dengan sehingga semalam seramai 2,784,000 pesakit telah sembuh.

Sehingga semalam seramai 31,978 kes kematian dilaporkan manakala 54,780 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 46,646 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,365 ditempatkan di PKRC; 3,655 dimasukkan ke hospital; dan 114 dirawat di ICU, dengan 62 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 31 Januari 2022 untuk seluruh negara adalah pada nilai Rt 1.15, katanya. Ia meningkat berbanding Rt 1.14 sehari sebelumnya.

Semua negeri kecuali Labuan, Terengganu, Sarawak dan Perlis, mencatat Rt melebihi 1.00 iaitu tahap membimbangkan dengan pakar kesihatan berkata lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Berdasarkan statistik dikongsi Dr Noor Hisham, Kedah dan Johor mencatat nilai kebolehjangkitan tertinggi iaitu sebanyak Rt 1.17.

Ini diikuti dengan Negeri Sembilan sebanyak 1.16; Putrajaya (1.15); Pulau Pinang (1.14); Kuala Lumpur (1.13); Selangor (1.12); masing-masing (1.11) bagi Sabah serta melaka; Kelantan (1.09); Perak (1.05); dan Pahang (1.04).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR