
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dan kes sembuh di seluruh negara semalam, 29 Jun 2022.
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 29 Jun 2022) melonjak daripada 2,025 kes yang dilaporkan pada Selasa, kepada 2,605 kes, termasuk tiga kes import, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak terus menyumbang kepada jumlah tertinggi kes harian apabila mencatat 1,829 kes, diikuti 548 (penerima dua dos); 202 (individu tidak divaksinasi); dan 26 (individu belum lengkap vaksinasi).
Jumlah jangkitan baharu itu menjadikan kumulatif positif Covid-19 sejak wabak itu mula memasuki negara ini pada Januari 2020 lalu hingga semalam meningkat kepada 4,563,188 kes, dengan seramai 4,498,711 pesakit telah pulih, termasuk 1,633 yang sembuh semalam.
Kes aktif bagaimanapun meningkat semula kepada 28,714 berbanding 27,747 kes pada Selasa, manakala 27,465 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (26,541 pada Selasa), dan 22 masukkan di PKRC (14 pada Selasa).
Jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital juga meningkat kepada 1,187 kes berbanding 1,155 pada Selasa, manakala 40 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (37 pada Selasa), dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (19 pada Selasa).
Berikut adalah pecahan kes harian semalam serta kumulatif positif sejak 2020 mengikut negeri:
Selangor – 730 (1,388,381);
Johor – 66 (385,941);
Sabah – 163 (374,787);
Kuala Lumpur – 865 (370,809);
Sarawak – 53 (307,851);
Kedah – 57 (301,642);
Pulau Pinang – 138 (284,204);
Kelantan – 24 (248,344);
Negeri Sembilan – 105 (207,568);
Perak – 152 (206,840);
Pahang – 56 (172,388);
Terengganu – 23 (126,618);
Melaka – 102 (125,979);
Labuan – 6 (21,484);
Putrajaya – 57 (21,766) dan
Perlis – 8 (17,586).
Sementara itu, KKM turut memaklumkan lima pesakit meninggal dunia semalam akibat komplikasi Covid-19, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).
Dua kes kematian masing-masing direkodkan di Pahang dan Melaka, manakala satu lagi di Selangor.
Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif kes kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,763 kes, termasuk 7,586 kes BID.