Kes baharu melonjak lagi

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi sedikit berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,736 kes baharu direkodkan, berbanding 5,566 semalam.

Angka itu, katanya menjadikan kumulatif kes positif sejak awal 2020 lalu hingga hari ini meningkat kepada 2,882,060 kes.

Sehingga semalam seramai 2,787,187 pesakit telah sembuh, 31,985 kematian dan 57,152 kes masih aktif.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai Rt 1.15, kekal seperti kelmarin.

Berdasarkan data dikongsi beliau, kadar kebolehjangkitan Perlis pada nilai tertinggi berbanding neger-negeri lain iaitu sebanyak Rt 1.29.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Tahap kebolehjangkitan bagi 13 negeri lain, kecuali Labuan dan Sarawak, juga melepasi Rt 1.00, dengan Putrajaya mencatat 1.21, diikuti Johor (1.17); masing-masing 1.16 bagi Sabah, Pulau Pinang serta Kedah; dan Negeri Sembilan (1.13).

Selangor serta Melaka pula masing-masing 1.12 Rt; Kuala Lumpur (1.11); Kelantan (1.10); Perak (1.07); Pahang (1.04) dan Terengganu (1.00).

BERITA BERKAIT
POPULAR