Kes baharu melepasi 5,000

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat semula berbanding tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,020 kes baharu dilaporkan – naik sedikit berbanding 4,965 kes semalam.

Beliau berkata kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif positif sejak pandemik Covid-19 menular di negara ini awal tahun lalu kepada 2,673,019 kes.

Sehingga semalam seramai 2,576,870 pesakit dilaporkan sembuh, dan 30,718 pesakit meninggal dunia, termasuk 6,216 yang meninggal di luar hospital atau brought in death (BID).

Terdahulu beliau juga memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam bagi seluruh negara kekal sebanyak 0.99.

Enam negeri merekodkan Rt melebihi 1.00 dengan Perlis kekal pada Rt 1.13 tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Sementara Labuan pula mencatat Rt 1.06 diikuti masing-masing 1.03 bagi Pulau Pinang dan Melaka; Negeri Sembilan (1.01); dan Pahang (1.00).

Negeri-negeri lain mencatat Rt antara 0.71 hingga 0.99.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR