Kes baharu kembali melonjak di 13 negeri, wilayah

Semua negeri, kecuali Negeri Sembilan, Terengganu dan Labuan, mencatatkan peningkatan kes baharu hari ini dengan Sabah, Johor, Perak dan Pulau Pinang mengalami lonjakan tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, 20,837 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 17,672 kes yang dicatatkan di seluruh negara semalam.

Menurutnya angka itu menjadikan kumulatif kes positif sejak pandemik Covid-19 mula menular di Malaysia awal tahun lalu kepada 1,593,602 kes.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, 13 negeri dan wilayah merekodkan peningkatan kes baharu, manakala tiga sahaja merekodkan penurunan kes harian.

Empat negeri mencatatkan lonjakan kes iaitu Sabah, daripada 2,474 kes semalam kepada 3,376 jangkitan hari ini, diikuti Johor dengan 1,743 kes baharu berbanding 1,367 kes semalam; Perak dengan 1,242 kes baharu (952 semalam); dan Pulau Pinang daripada 1,451 semalam kepada 2,054 hari ini.

Jumlah jangkitan di Perlis – negeri kecil yang sebelum ini tidak banyak melaporkan kes baharu – kini naik mencecah 74 kes baharu hari ini, meningkat sejak beberapa hari lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR