Kes baharu kembali lepasi 5,000

Jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat 709 kes berbanding semalam, sekali gus melepasi angka 5,000.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu, 5,594 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 4,885 kes semalam.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,597,080 kes, manakala 2,493,437 pesakit telah sembuh.

Mengenai kadar kebolehjangkitan beliau berkata, Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 22 November 2021 untuk seluruh negara adalah 1.00.

Semua negeri, kecuali Sarawak, Labuan dan Perlis, merekodkan Rt melebihi 1.00

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi iaitu sebanyak Rt 1.15.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, Putrajaya merekodkan 70 jangkitan baharu, berbanding 31 yang dicatat pada Ahad, menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 8,040 kes, sementara 7,248 pesakit sembuh, dan 21 kematian.

Wilayah Persekutuan itu juga merekodkan 830 kes aktif, termasuk 799 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah; 23 dimasukkan ke hospital; dan lapan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh semalam, Rt di Selangor adalah sebanyak 1.06; diikuti masing-masing 1.05 di Kuala Lumpur dan Pahang; Rt 1.04 di Johor, Kelantan, Kedah, dan Melaka; Negeri Sembilan (1.02); dan masing-masing Rt 1.01 di Sabah, Perak serta Pulau Pinang; dan Terengganu (1.00).

Hanya Sarawak yang mencatat Rt di bawah 1.00 iaitu sebanyak 0.83 kes, manakala Labuan sebanyak 10 kes, dan Perlis (13 kes).

BERITA BERKAIT
POPULAR