
Sehingga semalam, 30 Julai 2022, sebanyak 47,014 kes Covid-19 masih aktif. - Gambar Getty
Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara semalam (Sabtu, 30 Julai) masih kekal melebihi angka 4,000 kes, namun kematian akibat komplikasi virus SAR-CoV-2 turun daripada 10 pada Jumaat kepada empat kes.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 4,271 jangkitan baharu dilaporkan semalam, turun berbanding 4,860 kes pada Jumaat, menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 meningkat kepada 4,677,270 kes.
Data laman sesawang CovidNOW KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan setakat ini, seramai 4,594,296 pesakit telah sembuh daripada Covid-19, termasuk 5,553 pesakit yang pulih semalam.
Daripada jumlah kes baharu berkenaan, 3,112 kes melibatkan individu yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19, diikuti 796 kes (penerima dos kedua); 336 kes (individu tidak divaksinasi); dan 27 kes (individu belum lengkap vaksinasi).
Selangor terus mencatat jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 1,972 kes, meningkat berbanding 1,649 pada Jumaat.
Menurut KKM, kes aktif Covid-19 sehingga kini turun sedikit kepada 47,014 kes berbanding 48,300 kes pada Jumaat, termasuk 45,487 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (46,334 sehingga Jumaat), dan 19 lagi ditempatkan di PKRC (23 pada Jumaat).
Jumlah pesakit yang dirawat di hospital juga turun kepada 1,446 berbanding 1,883 pesakit pada Jumaat, manakala 62 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (60 pada Jumaat) dengan 34 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, kekal seperti pada Jumaat.
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam serta kumulatif positif sejak Januari 2020 lalu mengikut negeri:
- Selangor – 1,972 (1,427,400);
- Kuala Lumpur – 723 (403,026);
- Johor – 90 (388,657);
- Sabah – 251 (381,294);
- Sarawak – 78 (309,641);
- Kedah – 97 (304,340);
- Pulau Pinang – 191 (290,537);
- Kelantan – 57 (249,592);
- Perak – 280 (214,824);
- Negeri Sembilan – 221 (213,358);
- Pahang – 69 (174,016);
- Melaka – 121 (129,208);
- Terengganu – 17 (127,360);
- Putrajaya – 70 (24,254);
- Labuan – 19 (21,876); dan
- Perlis – 15 (17,887).
Sementara itu, KKM juga memaklumkan seramai empat pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).
Kes kematian semalam masing-masing direkodkan di Melaka (BID), Perak, Sabah dan Terengganu.
Jumlah itu menjadikan seramai 35,960 pesakit meninggal dunia sejak Mac 2020 hingga semalam, dengan 7,638 daripadanya adalah kes BID.