Kes baharu hampiri 10 ribu

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melonjak lagi kepada 9,117 kes, berbanding 7,234 kes yang dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka terbaharu itu menjadikan keseluruhannya 2,904,131 kumulatif kes positif.

Sehingga semalam, sebanyak 2,799,608 pesakit telah sembuh, dan 63,395 kes masih aktif, meningkat 1,969 kes berbanding Khamis.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 55,759 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 4,092 ditempatkan di PKRC; 3,426 dimasukkan ke hospital; dan 118 pesakit dirawat di ICU, dengan 57 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Februari 2022 untuk seluruh negara adalah pada nilai 1.13, turun berbanding 1.14 kelmarin.

Bagaimanapun, kecuali Labuan, merekodkan kadar kebolehjangkitan melepasi Rt 1.00, dengan tertinggi direkodkan Perlis sebanyak Rt 1.33.

Ini diikuti Sabah Rt 1.29; Kedah (1.19); masing-masing 1.17 bagi Johor dan Putrajaya; Selangor (1.16); Pulau Pinang (1.13); Melaka (1.12); 1.09 bagi Kuala Lumpur dan Terengganu; masing-masing 1.08 untuk Pahang dan Perak; Sarawak (1.07); Negeri Sembilan (1.6); dan Kelantan (1.03).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

BERITA BERKAIT
POPULAR