Kes baharu hampir 20,000, kadar jangkitan juga semakin tinggi

Graf jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi kekal menegak, dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan juga semakin menghampiri nilai 2.00.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu, 19,090 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 17,134 kes positif semalam.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 2,975,422 kes.

Sehingga semalam, 2,829,752 pesakit telah sembuh, 94,515 kes masih aktif, dan 32,065 kematian direkodkan.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 83,906 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,405 ditempatkan di PKRC; 5,057 dimasukkan ke hospital; dan 147 pesakit dirawat di ICU, dengan 79 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan statistik laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), Covidnow, dalam tempoh minggu ini, 28.4 peratus jangkitan melibatkan individu berusia 18 hingga 29 tahun, diikuti 21.7 peratus (30-39 tahun); 11.9 peratus (40-49 tahun); dan 9.4 peratus (5-11 tahun).

Sebanyak 8.6 peratus lagi membabitkan usia 12 hingga 17 tahun; 7.5 peratus (50-59 tahun); 4.9 peratus masing-masing berusia 0 hingga 4 tahun dan 60 hingga 69 tahun; 2.0 peratus (70-79 tahun); dan 0.7 peratus (80 tahun ke atas).

Menurut Dr Noor Hisham kadar Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 1.47, dengan Labuan mencatat Rt 1.94, manakala Sarawak (Rt 1.84).

Nilai RT merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai RT berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Sabah pula mencatat nilai Rt 1.73 diikuti Perlis (1.67); Putrajaya (1.46); Terengganu (1.42); Pulau Pinang (1.38); Kedah (1.37); masing-masing 1.31 bagi Johor dan Kelantan; Pahang (1.30); Selangor (1.27); Perak (1.25); Kuala Lumpur (1.22); Melaka (1.19); dan Negeri Sembilan (Rt 1.17

BERITA BERKAIT
POPULAR