Kes baharu di Selangor lepasi 3,000

Data 3 Julai 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan jumlah kes baharu Covid-19 di Selangor dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 3,047 kes.

Semalam negeri itu mencatatkan 2,907 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu 6,658 kes jangkitan baharu direkodkan di seluruh negara menjadikan kumulatif sebanyak 772,607 kes sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Berdasarkan data dikeluarkan KKM, 10 negeri dan wilayah merekodkan penurunan kes baharu hari ini, sementara kes di Negeri Sembilan semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata berdasarkan data terbaharu menunjukkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 dalam negara meningkat lapan hari berturut-turut sejak 25 Jun lalu dan keadaan ini agak membimbangkan.

Beliau berkata sehingga semalam Rt melonjak hingga 1.07 berbanding paras 0.96 pada 25 Jun lalu.

Keadaan semasa tersebut mengakibatkan graf seolah-olah membentuk lengkungan ā€˜Uā€™, dengan kali terakhir Malaysia merekodkan kebolehjangkitan 1.07 pada 1 Jun lalu, iaitu hari pertama sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa.

Semalam, 6,982 jangkitan baharu dilaporkan dengan Selangor mengekalkan kes tertinggi sebanyak 2,907 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (637), Negeri Sembilan (606), Johor (517) dan Sarawak (440).

POPULAR