Kes baharu 6,493, sistem kesihatan negara tertekan: Noor Hisham

Sistem kesihatan negara sekarang ini berada dalam tekanan hebat susulan peningkatan jangkitan Covid-10, tatkala gelombang ketiga terus mengganas di beberapa negeri.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 6,493 kes baharu dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan kumulatif kes di Malaysia meningkat kepada 498,795.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan yang amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Beliau memaklumkan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 secara keseluruhannya di seluruh negara telah mencapai 83 peratus sehingga semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai melaksanakan langkah kawalan kendiri dengan kekal duduk di rumah bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

“Sekiranya terdapat urusan penting di luar, pastikan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Majikan diseru untuk memberi kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) dan menghadkan bilangan pekerja yang hadir ke pejabat pada satu-satu masa,” katanya.

Katanya, Selangor terus mencatat kes tertinggi dengan 2,163 diikuti Sarawak sebanyak 612 kes dan Kuala Lumpur (641), hari ini.

Berikut adalah perbandingan peningkatan dan penurunan kes mengikut negeri yang dicatatkan hari ini dan semalam.

21 Mei 2021 / 20 Mei 2021

Selangor 2,163 / 2,277
Kuala Lumpur 641 / 655
Johor 406 / 615
Sarawak 612 / 608
Kelantan 467 / 426
Kedah 433 / 417
Pulau Pinang 302 / 362
Negeri Sembilan 370 / 291
Perak 382 / 248
Sabah 144 / 245
Terengganu 139 / 233
Melaka 165 / 212
Pahang 161 / 157
WP Putrajaya 20 / 35
WP Labuan 84 / 17
Perlis 3 / 8

BERITA BERKAIT
POPULAR