Kes baharu Covid-19 semakin turun, Selangor kembali teratas

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di seluruh negara sejak wabak itu mula menular di Malaysia pada awal Mac tahun lalu kini mencecah lebih dua juta kes.

Tatkala peratusan imunisasi vaksin yang dilancarkan sejak Februari lalu mula menunjukkan tanda-tanda kejayaan, jumlah jangkitan harian turut merekodkan penurunan mendadak berbanding minggu sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi sebanyak 15,669 jangkitan baharu dilaporkan, turun berbanding 16,073 yang dicatatkan semalam.

Angka itu katanya, menjadikan kumulatif keseluruhan kepada 2,011,440 kes.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, tujuh negeri mencatatkan peningkatan jangkitan, dengan Selangor kembali mendahului negeri-negeri lain apabila merekodkan 2,632 kes hari ini berbanding 1,947 kes semalam.

Mengikut data itu, Sabah mencatatkan 1,784 kes hari ini meningkat berbanding 1,649 kes semalam; Pulau Pinang (1,651 kes hari ini, 1,243 semalam); Kelantan (1,406 kes hari ini, 1,070 semalam); Kedah (1,207 kes hari ini, 1,191 semalam); Kuala Lumpur (411 hari ini, 398 semalam); dan Melaka (329 hari ini, 206 semalam).

Sarawak yang sebelum ini mencatat jangkitan melebihi 3,000 sejak beberapa hari lalu, hari ini merekodkan 1,983 kes berbanding 3,522 kes semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR