Kes baharu Covid-19 naik semula

Sebanyak 5,071 jangkitan baharu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, naik berbanding 4,626 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,481,339 kes.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, semua negeri merekodkan jumlah kes di bawah paras 1,000, dengan Labuan mencatat sifar kes Covid-19 dan tertinggi sebanyak 883 kes di Selangor.

Beliau juga berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 1 November 2021 untuk seluruh negara adalah 0.96.

Tiga negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat kadar RT melebihi 1 iaitu Putrajaya sebanyak 1.06, Kuala Lumpur (1.01) dan Negeri Sembilan (1.00).

Sementara itu, seramai 22,378,822 atau 95.6 peratus individu dewasa di seluruh negara telah lengkap divaksinasi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu sehingga semalam.

Menurut KKM, sebanyak 97.7 peratus atau 22,878,462 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

Mulai 20 September hingga semalam juga seramai 2,129,730 atau 67.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 83.2 peratus atau 2,616,321 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya lebih 50.18 juta dos vaksin telah diberikan kepada individu yang layak, termasuk 351,114 penerima dos penggalak yang terdiri daripada warga emas dan petugas barisan hadapan.

BERITA BERKAIT
POPULAR