
Pecahan kes baharu mengikut mukim di Langkawi hari ini 28 September 2021. - Sumber PKD Langkawi
Setelah merekodkan lonjakan tiga kali ganda jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, penduduk Langkawi berasa lega apabila kes baharu yang direkodkan turun lebih tiga kali ganda hari ini.
Menurut statistik dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi (PKDLangkawi) jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh pulau itu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun kepada 31 kes, berbanding 113 kes yang direkodkan semalam.
PKDLangkawi juga memaklumkan semua enam mukim mencatatkan penurunan kes baharu dengan kes di Mukim Kedawang turun dengan ketara daripada 24 kes semalam kepada 3 kes hari ini.
Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah pula, sehingga hari ini sebanyak 635 kes masih aktif di pulau itu.
Kuah yang menjadi pusat pentadbiran daerah Langkawi merekodkan kes aktif tertinggi sebanyak 230 kes diikuti Mukim Kedawang (106 kes); Padang Matsirat (96 kes); Air Hangat (93 kes); Bohor (56 kes); dan Ulu Melaka (54 kes).
Pulau peranginan popular itu dibuka semula menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi bermula 16 September lalu dengan ribuan pelancong dalam dan luar negara mula berkunjung ke gugusan 99 pulau itu untuk beristirahat.
Pihak berkuasa khususnya melalui Kementerian Kesihatan (KKM) mengenakan syarat ketat kepada pelancong yang ingin masuk ke Langkawi, termasuk kebenaran kepada individu yang telah melengkapkan vaksinasi masing-masing.
Bagaimanapun, sehingga malam ini tiada maklumat sama ada kes baharu hari ini turut membabitkan pelancong atau hanya penduduk tempatan. Sejak 16 September hingga semalam, belum ada pelancong yang dijangkiti Covid-19 di pulau itu.