Kes baharu 3,490 terendah sejak Mei lalu

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun lagi kepada 3,490 kes berbanding 4,626 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Jumlah itu adalah yang terendah sejak 3 Mei lalu yang merekodkan 2,500 jangkitan.

Mengikut rekod simpanan Agenda Daily, jumlah kes terendah yang dilaporkan sejak Januari lalu sehingga hari ini dicatatkan pada 29 Mac iaitu sebanyak 941 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka itu menjadikan kumulatif kes positif sejak awal tahun lalu meningkat kepada 2,691,639 kes.

Sejak virus Covid-19 mula merebak di Malaysia Januari tahun lalu hingga semalam seramai 2,596,509 pesakit telah sembuh, dan 30,862 kematian.

Sementara itu, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara kekal pada 0.97.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Berdasarkan statistik dikongsi Dr Noor Hisham hari ini, tujuh negeri mencatat nilai RT melebihi 1.00

Perlis mencatat Rt 1.05; diikuti Melaka (1.03); manakala Pulau Pinang dan Negeri Sembilan masing-masing Rt 1.02; Johor dan Pahang (1.01); dan Terengganu (1.00).

Negeri-negeri lain mencatat nilai Rt antara 0.73 hingga 0.98.

BERITA BERKAIT
POPULAR