Kes akan meningkat, tapi jangan panik kerana KKM bersiap-sedia

Orang ramai diminta tidak panik dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam masa terdekat, ia memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersiap-sedia untuk menanganinya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata KKM akan memantau situasi terkini jangkitan Covid-19 dan menyifatkan peningkatan kes tersebut berikutan varian Omicron yang lebih pantas menular.

Katanya, kementerian akan terus memantau perkembangan semasa dan data terpenting seperti kadar kemasukan ke hospital, unit rawatan rapi (ICU) serta pesakit kategori kritikal.

“Kes akan meningkat, malah berkemungkinan secara mendadak dalam tempoh singkat kerana kita sudah ada Omicron di Malaysia yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi.

“Kementerian akan sentiasa pantau data terpenting seperti kemasukan ke hospital, ICU dan pesakit kategori 4 serta 5 kerana kalau kita lihat kes saja, sudah pasti akan risau.

“Malah, ia (kadar kes harian) akan mungkin sampai lebih daripada jumlah yang direkodkan dalam tempoh seminggu lalu.

“Tetapi, kita jangan panik kerana sudah berada di tahap masyarakat terima hakikat Malaysia perlu hidup dengan Covid-19 dan liputan vaksin antara tertinggi di dunia,” katanya.

Khairy terdahulu mengadakan lawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA) hari ini.

Berdasarkan perangkaan semasa, kes harian Covid-19 sejak kebelakangan ini berada sekitar 4,000 hingga 5,000 kes, namun individu yang mengalami kesan kesihatan Kategori 1 hingga 3 mewakili lebih 95 peratus daripada keseluruhan pesakit.

Khairy berkata, kementerian sedang melakukan perolehan bagi mendapatkan ubat antiviral Paxlovid untuk kegunaan di Malaysia, khususnya golongan berisiko, rentan dan mempunyai komorbiditi.

Katanya, pengurusan wabak dan pesakit Covid-19 di Malaysia mencatatkan perkembangan positif dalam tempoh singkat apabila kebanyakan penghidap virus itu hanya ditempatkan di rumah, bagi tujuan pengasingan.

“Ini suatu pencapaian memberangsangkan dan dengan Paxlovid, kita akan dapat terus kurangkan bebanan di sektor perkhidmatan kesihatan awam,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR