Kes 6 negeri naik, Kedah paling tinggi

Kedah mendahului negeri-negeri lain dari segi jumlah peningkatan jangkitan harian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, walaupun Selangor kekal merekodkan kes tertinggi di seluruh negara.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, dalam tempoh itu enam negeri merekodkan peningkatan jangkitan baharu, dengan Kedah mencatat 223 kes berbanding 187 semalam.

Ini menjadikan kumulatif positif Covid-19 di negeri itu sejak awal 2020 lalu kepada 170,373 kes. Bagaimanapun, sehingga semalam seramai 166,394 pesakit dilaporkan sembuh, 2,169 kes kematian dan 1,587 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 1,210 pesakit kini menjalani kuarantin di rumah; 208 ditempatkan di PKRC; 155 dimasukkan ke hospital; dan 14 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 1,572,593 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, manakala 73.0 peratus atau 1,593,865 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 386,788 individu menerima dos penggalak.

Enam daripada 264 kluster Covid-19 yang dikesan di negeri itu juga masih aktif, iaitu masing-masing tiga berkaitan tempat kerja dan pendidikan yang melibatkan 307 individu, dengan dua kluster tempat kerja turut menjangkiti penduduk di Pulau Pinang.

Sementara itu, Pulau Pinang turut merekodkan peningkatan jangkitan harian apabila mencatat 186 kes berbanding 169 semalam, diikuti Negeri Sembilan (158 kes baharu, 139 semalam); Terengganu (90 kes baharu, 79 semalam); Sarawak (22 kes baharu, 15 semalam); dan Labuan (18 kes baharu, lima semalam).

Walaupun mencatatkan penurunan jangkitan baharu tiga hari berturut-turut, angka kes di Selangor kekal tertinggi apabila merekodkan 770 kes baharu hari ini berbanding 871 semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR