Kes 1MDB: Pendakwaan pertikai soalan tak relevan peguam Najib

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mempersoalkan pasukan pembelaannya dalam mengemukakan soalan yang tidak relevan kepada bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13.

Ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa soalan yang dikemukakan oleh peguam Najib, Datuk Hariharan Tara Singh tidak relevan dan meminta mereka (mengajukan soalan) yang lebih baik untuk menjimatkan masa mahkamah, lapor Bernama.

“Saya tidak lihat kaitannya. Saya sudah lama bersabar dengan semua dokumen yang dikemukakan kepadanya, ia mestilah ada kaitan dengan soalan itu.

“Jadi, saya akan sangat berterima kasih sekiranya rakan saya dapat menerangkan kepada kami dan Yang Arif, kaitan soalan yang telah diajukan kepada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO 1MDB),” kata Sri Ram.

Dalam pemeriksaan balas, Hariharan bertanya kepada Ismee mengenai kejadian yang berlaku melibatkan Shahrol dan Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang.

Peguam itu berkata kaitan soalan itu adalah untuk menunjukkan bahawa Shahrol dan Tang adalah orang utama yang mewakili pengurusan 1MDB dalam transaksi tertentu dan mereka adalah orang yang tidak mematuhi keputusan lembaga pengarah.

“Pihak pembelaan ingin menegaskan bahawa Shahrol dan Tang bertindak bertentangan dengan mandat lembaga (pengarah). Apa yang kami mahu tunjukkan ialah bagaimana kedua-dua individu ini telah memanipulasi skim ini dan kami menanyakan mengenai pendirian lembaga pengarah 1MDB mengenainya,” tambah beliau.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menegaskan bahawa ia tidak mengapa jika Ismee ditanya tentang apa yang dia tahu.

“Jika dia tahu atau jika dia mempunyai pengetahuan peribadi tentang apa sahaja yang kamu tanya, ia adalah bagus. Tetapi kebanyakan yang anda tanya, dia tidak mengetahuinya,” kata hakim.

Hakim itu berkata jawapannya sudah tersedia di dalam dokumen dan pihak pembelaan boleh menukar soalan dengan meletakkan cadangan mereka dengan cara yang mudah bagi Ismee bersetuju atau tidak bersetuju dan bukannya mengulangi kandungan yang telah dinyatakan dalam dokumen itu.

“Saya tidak nampak kesudahan untuk saksi pada masa akan datang jika ia berterusan begini. Bolehkah perkara ini kita buat kesimpulan? tanya hakim.

“Hanya tanya (Ismee) apa yang anda mahu kemukakan dalam kes anda dan tinggalkan yang lain untuk penghujahan,” kata hakim.

Bagaimanapun peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata jika mahkamah berpendapat sedemikian, ia adalah kerana bagaimana Shahrol dan yang lain meletakkannya seperti itu untuk mengelirukan semua orang.

“Ini adalah kes yang sangat rumit. Kes ini melibatkan banyak dokumen dan transaksi. Ia bukanlah kes yang mudah diputuskan atau diselesaikan,” katanya.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR