Kes 1MDB Najib: Shafee ‘terganggu’ saksi kata tak rangka kenyataan

August 25, 2022 · Isu semasa

Seorang bekas pegawai kanan di Kementerian Kewangan hari ini secara tiba-tiba memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia tidak secara peribadi merangka kenyataan saksinya sendiri untuk keterangannya terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa memberi keterangan sebagai saksi ke-26 bagi pihak pendakwaan apabila beliau membuat kenyataan mengejutkan itu.

Ketika ditanya oleh peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau telah merangka kenyataan saksinya sendiri, Siti Zauyah berkata “tidak”.

Siti Zauyah sebaliknya berkata pegawai di Kementerian Kewangan yang telah merangka kenyataan saksi untuknya.

Beliau juga bersetuju apabila Muhammad Shafee menyatakan segala pernyataannya adalah benar berdasarkan pengetahuan dan kepercayaannya.

Bagaimanapun, Siti Zauyah memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya diberikan pernyataan itu pada saat-saat akhir dan tidak berkesempatan untuk membaca kesemuanya.

Menjawab soalan lain, saksi pendakwaan itu berkata dua kakitangan beliau membuat pernyataan berkaitan pinjaman, tetapi tidak mengetahuinya mengenai bahagian berkaitan Menteri Kewangan Diperbadankan.

Ditanya sama ada semua yang dinyatakan dalam keterangan saksi adalah betul dalam pengetahuannya, Siti Zauyah menjawab: “Saya tidak tahu sama ada ia dalam pengetahuan saya.”

Ditekan lebih lanjut mengenai kenyataan saksi yang dia bersumpah sebagai benar, Siti Zauyah berkata: “Maksud saya ini digubal oleh pegawai saya, tetapi tidak pernah di hadapan saya, saya hanya diberi dokumen.”

Shafee berkata ada lebih baik Siti Zauyah “berkata benar”, dan mengulangi kenyataannya bahawa beliau bukan orang yang merangkanya dan tidak mempunyai pengetahuan peribadi berhubung kenyataan saksi.

Shafee kemudian membaca muka surat akhir kenyataan saksi Siti Zauyah setebal 40 muka surat yang sebelum ini dikemukakan di mahkamah sebagai bahan bukti, khususnya pada baris yang mengatakan kenyataan saksi itu adalah benar berdasarkan pengetahuannya.

Shafee kemudian berkata: “Tetapi sebenarnya, butiran yang dimasukkan dalam kenyataan anda, anda tidak tahu keseluruhannya adalah benar, tepat dari pengetahuan peribadi anda?”

Siti Zauyah: “Ya.”

Ketika ini, Shafee memohon penangguhan selama beberapa minit bagi berbincang dengan pihak pendakwaan sama ada saksi berkenaan ingin dikekalkan atau sebaliknya.

“Saya tidak faham kenapa saksi itu dipanggil kerana ia tidak berguna kepada kami mahupun pendakwaan. Perkara ini tidak membawa kami ke mana-mana. Ia adalah pertama kali saya bertemu dengan saksi macam ini,” katanya.

Mahkamah menanggihkan prosiding sekitar jam 11.37 pagi, dengan Najib kemudian pergi ke bilik lain di mahkamah yang dikawal beberapa pegawai penjara.

Pada 15 Jun lalu, Siti Zauyah dalam keterangannya menyatakan tindakan Najib menandatangani surat sokongan kerajaan (LOS) terhadap pemberian pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi satu projek usahasama menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang AS$3 bilion.

Ini kerana salah satu terma dalam surat sokongan itu ialah Kerajaan akan dipertanggungjawabkan atas pinjaman yang dibuat sekiranya syarikat induk gagal membayar balik pinjaman.

Perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung semula petang ini.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9.30 pagi, dan dilihat memasuki bilik mahkamah pada 12.02 tengah hari serta bilik bersebelahan tempat Najib berada.

Isteri Najib Datin Rosmah Mansor dilihat tiba kira-kira jam 12.22 tengah hari dan dilihat di luar bilik mahkamah kira-kira dua minit kemudian dan juga dipercayai memasuki bilik bersebelahan itu.

Berita berkaitan
Anak harap usaha bebaskan Najib tidak dilupakan
2 jam lalu· Politik
Pemuda UMNO menangis selepas beri Najib Anugerah Tokoh Pemuda
7 jam lalu· Politik
Ekstradisi Jho Low rumit, mencabar : MCW
June 4, 2023· Isu semasa
China mungkin tidak benarkan Jho Low balik Malaysia, kata Justo
June 4, 2023· Isu semasa
Popular
Tiada lagi subsidi ayam dan telur pada 1 Julai: Mat Sabu
June 8, 2023
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
June 8, 2023
Dewan Rakyat riuh bila sup tulang babi dicadang jadi makanan kebangsaan
June 7, 2023
Singapura tak guna OPR, Dr M beritahu Anwar
June 7, 2023
Lagi Isu semasa terkini
PAC panggil 4 kementerian, 1 GLC minggu depan
51 minit lalu · Isu semasa
Hans Isaac kini Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia
5 jam lalu · Isu semasa
Kedah tawar pinjaman pendidikan buat pelajar yang layak ke IPTA, IPTS
6 jam lalu · Isu semasa
Anak saudara Sivarasa bebas tuduhan rasuah
6 jam lalu · Isu semasa
Speaker tolak usul bahas skandal LCS, tapi kenapa kerap dibincang semasa PRU?
8 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pemuda menangis teruk Najib dapat anugerah
5 jam lalu
[VIDEO] Gelombang sudah ada, PN tetap usaha menang PRN enam negeri
23 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok