
Bekas Perdana Menteri, yang juga bekas Menteri Kewangan dan pada masa sama ialah bekas Pengerusi Penasihat Lembaga 1MDB Datuk Seri Najib Razak.
Cubaan bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah cuba menasihati Datuk Seri Najib Razak melibatkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak diterima.
Sebaliknya, Husni memberitahu bekas Perdana Menteri itu tidak mahu beliau campur tangan dalam isu berhubung pelaburan dana 1MDB dan sejak daripada itu tidak lagi mengambil tahu dalam sebarang urusan syarikat pelaburan negara itu.
“Saya menyatakan bahawa ‘1MDB tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu dan ia hanya perlu diberikan kepada (syarikat minyak nasional Malaysia) Petronas’.
“Tetapi PM menjawab saya dengan ‘Husni, saya tidak mahu anda terlibat dan campur tangan mengenai 1MDB’.
“Selepas PM menjawab begitu kepada saya, saya tidak membalas lagi. Saya mengesahkan bahawa pertemuan antara saya dan PM adalah di pejabat PM dan sejak itu, saya langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan berkaitan 1MDB,” dakwa Husni mengenai pertemuan 2009 itu.
Husni merupakan saksi pendakwaan ke-20 dalam kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.3 bilion yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini semasa perbicaraan berasingan kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap Najib pada 19 Ogos 2019, Husni selaku saksi pendakwaan turut memberi keterangan bahawa Najib memberitahunya untuk tidak terlibat dalam 1MDB. (SRC adalah bekas anak syarikat 1MDB)
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Najib turut didakwa dengan lima tuduhan, menggunakan hasil daripada aktiviti haram untuk disalurkan kepada lima pihak.
Ia membabitkan RM20,000,000 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).