Kerjasama perangi Covid-19 teras titah Agong, kata ulama PAS

Dewan Ulamak PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Perkara teras yang terhasil daripada tujuh ketetapan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah kerjasama semua pihak untuk memerangi penularan wabak Covid-19 habis-habisan.

Sehubungan itu Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengingatkan Ahli Parlimen tidak menjadikan Dewan Rakyat yang akan dibuka nanti sebagai tempat mencetuskan polimik politik tanpa kesudahan dan membelakangkan ketetapan itu.

Ketua DUPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata tujuh ketetapan hasil pertemuan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu membuktikan kecaknaan pihak istana terhadap keutamaan yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kesejahteraan negara dan rakyat terus berada di atas pertimbangan dan keutamaan yang wajar sebagaimana yang ditegaskan iaitu nyawa dan kepentingan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

“Adalah jelas bahawa perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan oleh semua pihak tanpa wujud sebarang usaha mempolemikkan politik yang boleh mengeruhkan suasana perpaduan kalangan rakyat ialah usaha sama dari semua peringkat bagi memastikan angka kes positif Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera serta usaha-usaha menjayakan program vaksinisasi mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan sidang Parlimen ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara juga adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Prosedur (sidang Parlimen) perlu dipatuhi mengikut lunas-lunas Perlembagaan Malaysia seperti notis Sidang Parlimen 28 hari sebelum tarikh persidangan, keterlibatan pelbagai kementerian dan agensi untuk penyediaan dokumen yang melibatkan keperluan pegawai-pegawai hadir bekerja di pejabat selain dari keperluan penyediaan data-data dan maklumat-maklumat yang memerlukan masa yang secukupnya oleh pihak yang berkaitan.

“DUPP menyeru kepada semua pimpinan parti politik untuk bersikap matang dalam memastikan proses semak dan imbang menerusi Sidang Parlimen yang bakal dibuka nanti, sebagai medan percambahan idea, perbahasan yang terfokus serta usaha sama di antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam saling berkongsi pandangan,” katanya.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sehubungan dengan itu, katanya, Tuanku menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

POPULAR