Kerja-kerja pemulihan LRT berjalan 24 jam, dijangka selesai tiga hari

Jurutera terlibat dalam kerja membaik pulih LRT Laluan Kelana Jaya. Kredit gambar Prasarana

Kerja-kerja membaik pulih perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang terlibat kemalangan Isnin baru-baru ini dijangka siap sepenuhnya tiga hari lagi dengan operasi berjalan 24 jam tanpa henti oleh jurutera yang bertugas, kata Prasarana hari ini.

Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata juruteranya bekerja sepenuh masa dengan tiga syif sejak dua malam lepas dan kerja hari ini memberi fokus untuk mengeluarkan kedua-dua tren yang terlibat dalam insiden.

“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka akan selesai dalam masa tiga hari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan.

“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” kata kenyataan itu.

Kerja membaik pulih tersebut melibatkan staf daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock), dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.

Kerja-kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal bekerja pada setiap syif.

Bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.

Sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan.

“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir; dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” kata kenyataan itu lagi.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021