
Polsi menemukan 15 bahagian tubuh badan seorang wanita warga emas di dalam tangki kumbahan dipercayai dibunuh anak lelakinya di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak, semalam, 4 Jun 2022.
Polis yang menahan seorang lelaki selepas dipercayai membunuh dan memotong badan ibunya di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar, Perak, semalam, menemui 15 bahagian tubuh manusia yang telah dipotong.
Penemuan itu susulan bau busuk luar biasa yang dilaporkan jiran mangsa berusia 68 tahun.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata bau busuk itu membawa penemuan 15 bahagian tubuh badan seorang wanita warga emas di dalam tangki kumbahan dipercayai dibunuh anak lelakinya.
“Polis bergegas ke rumah mangsa berusia 68 tahun untuk membuat pemeriksaan sebaik menerima aduan bau busuk luar biasa daripada jiran sekitar.
“Pemeriksaan di bahagian belakang rumah menemukan potongan mayat di dalam saluran najis yang ditutup menggunakan papan kayu,” katanya.
Beliau berkata pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada anak perempuan mangsa mengenai kehilangan ibunya pada 28 Mei lalu dan siasatan dibuka sebagai kes orang hilang.
“Kita yakin suspek mempunyai masalah mental dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya
Mior Faridalathrash dalam kenyataan susulan berkata suspek yang berusia 42 tahun itu pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang 20 tahun lalu.
“Setelah itu, suspek tidak pernah menerima apa-apa rawatan susulan,” katanya.
Mangsa hanya tinggal berdua bersama suspek di rumah itu sejak 12 tahun lalu selepas suami mangsa meninggal dunia dan mereka menjalankan urusan jual beli barangan terpakai.
Polis turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang yang dipercayai digunakan suspek bagi melakukan pembunuhan tersebut.