
Tindakan seorang wanita bergejala yang hadir majlis pengebumian ahli keluarga menyebabkan penduduk dua kampung terdedah kepada jangkitan Covid-19 di Ranau, Sabah. - Gambar hiasan
Tindakan seorang wanita yang bergejala menghadiri majlis pengebumian ahli keluarganya selama tujuh hari berturut-turut sejak 14 Ogos lalu menjadi punca hampir sekampung penduduk terdedah kepada jangkitan Covid-19 di Ranau, Sabah, baru-baru ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata wanita berusia 40 tahun itu menjadi kes indeks Kluster Nasakot – yang dikesan di Sabah semalam – mengalami gejala deman, selesema dan hilang deria rasa serta bau sejak 12 Ogos.
Walaupun bergejala, wanita itu tetap hadir mahlis pengebumian ahli keluarganya selama tujuh hari berturut-turut di Kampung Nasakot, Ranau, katanya.
“Siasatan awal mendapati, kes indeks terlebih dahulu membawa anaknya untuk pemindahan darah di Hospital Ranau pada 3 Ogos lalu dan saringan kemasukan ke wad adalah negatif.
“Oleh itu, mereka dibenarkan keluar pada 5 Ogos dan hanya berada di rumah sejak 6 Ogos. Pada 12 Ogos, kes indeks dilaporkan mula menunjukkan gejala demam, selesema, hilang deria rasa dan bau.
“Tidak endah dengan simptom itu, kes indeks menghadiri majlis pengebumian ahli keluarga pada 14 Ogos yang berlanjutan tujuh hari bersama-sama hampir semua penduduk Kampung Nasakot,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Saringan kontak rapat pada 21 hingga 23 Ogos mengesan empat kontak yang menjadi sub-indeks bagi kes seterusnya.
“Perkumpulan beramai-ramai ketika majlis pengebumian itu mencetus penularan wabak dalam komuniti Kampung Nasakot dan Kampung Tanid di Mukim Malinsau, Ranau,” katanya.
Daripada 95 kontak yang disaring, seramai 32 individu dikesan positif setakat ini.
Sementara itu, katanya, satu lagi kluster direkodkan semalam iaitu Kluster Sawit Jeroco di mukim Segama, Lahad Datu berkaitan jangkitan di tempat kerja di sebuah kilang kelapa sawit.
Masidi berkata, kes indeks adalah pekerja kilang iaitu lelaki berumur 27 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu selepas bergejala sehari sebelumnya.
“Pihak pengurusan kilang dan klinik panel melakukan saringan kontak dan bersasar mulai 26 hingga 28 Ogos membabitkan 215 kontak sebelum mengesan 57 individu positif termasuk 25 kes baharu hari ini.
“Seramai 194 individu lagi didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif Covid-19 sudah dirujuk ke CAC Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Kontak rapat pula sudah diarah menjalani kuarantin di ladang.
“Kebanyakan kes adalah dalam kalangan bukan warga negara yang masih belum menerima vaksin. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Semalam, Sabah merekodkan 2,594 kes, meningkat 284 kes berbanding 2,310 kes semalam, manakala 15 kematian direkodkan iaitu lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Penampang dan masing-masing satu kes di Lahad Datu, Tawau, Beaufort, Beluran, Tenom dan Tuaran.