Kerajaan umum PKP di KL, termasuk tiga negeri bermula Jumaat

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei di Kuala Lumpur termasuk beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak.

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei di Kuala Lumpur termasuk beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat memandangkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.

“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur hingga 20 Mei dengan SOP sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Di Terengganu, Ismail Sabri berkata 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut) turut dikenakan PKP berkuat kuasa pada tempoh yang sama selepas KKM merekodkan sebanyak 406 kes positif hasil 5,617 ujian saringan yang dijalankan ke atas penduduk di lokaliti itu sejak 1 April hingga 3 Mei.

Beliau berkata KKM memaklumkan peningkatan kes di daerah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti 95 peratus, malah Besut juga merekodkan 15 kluster bagi tempoh yang sama dengan ada antaranya menular ke lokaliti lain.

Sementara itu, di Johor kawasan yang dikenakan PKP ialah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi berikutan jumlah kes aktif yang direkodkan di lokaliti itu adalah tinggi dengan kebanyakan kes adalah sporadik dalam komuniti.

Selain itu, ketiga-tiga daerah berkenaan juga berstatus zon merah dengan jumlah kes yang tinggi melebihi 150 kes manakala kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus, katanya.

Ismail Sabri berkata di Perak pula, kawasan yang dikenakan PKP adalah Mukim Taiping, daerah Larut Matang dan Selama setelah berlaku peningkatan mendadak kes bagi kawasan berkenaan.

“KKM juga melaporkan terdapat peningkatan kes bagi tiga kluster aktif di Mukim Taiping iaitu Kluster Jalan Kolam Dua di Kampung Expo, Kluster Jalan Pokok Assam di Kampung Pokok Assam dan Kluster Jalan Sepat di Kamunting,” katanya.

Mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP di kesemua kawasan itu adalah bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal selain memudahkan KKM untuk melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran bagi menyekat penularan jangkitan keluar daripada lokaliti terlibat.

Dalam pada itu, berdasarkan situasi semasa COVID-19 ketika ini, kerajaan juga bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan, swasta serta majlis sosial di semua kawasan yang dilaksanakan PKP.

Majlis sosial itu seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan hari ulang tahun, pertemuan semula (reunion), retreat dan lain-lain majlis sosial.

“Begitu juga dengan makan di restoran turut tidak dibenarkan berkuat kuasa dari tarikh pelaksanaan PKP,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Kampung Lubok Katak, Tapah, Batang Padang di Perak; Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin di Melaka dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga bermula pada Jumaat ini hingga 20 Mei.

POPULAR