
Kadar elektrik.
Penyelarasan tarif elektrik kepada pengguna domestik golongan berpendapatan tinggi (T20) akan diumum dalam masa terdekat, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata ini kerana kerajaan perlu melihat pelbagai faktor antaranya trend harga pasaran arang batu dan gas yang kini didapati sudah stabil berbanding beberapa tahun lepas, sebelum menyelaraskannya, menurut laporan Bernama.
“Sebelum ini kita sudah lama kekang harga itu (bahan api arang dan gas) pada harga yang sangat rendah…itu sebab peningkatan tarif agak drastik. Jadi itu satu faktor yang kena diambil kira.
“Oleh itu, menjawab soalan tentang bila kita nak buat (penyelarasan), insya-Allah dalam masa terdekat kita umumkan, bagi masa. Saya pun belum bincang dengan Kabinet,” katanya berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN (ASEANGH2) 2023 hari ini.
Beliau berkata penyelarasan akan dibuat berdasarkan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan, bermula Julai hingga Disember ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata golongan T20 tidak akan menerima manfaat subsidi bagi penggunaan elektrik serta Bantuan Kewangan Haji.
Sementara itu, mengenai kos keseluruhan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang berjumlah RM10.9 bilion, Nik Nazmi berkata kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM4 bilion berbanding RM15 bilion yang telah diumumkan kerajaan terdahulu.
Beliau berkata penjimatan itu berjaya dicapai susulan kaedah perolehan yang lebih baik dilaksanakan kerajaan menerusi tender terbuka.
“Proses terbaharu ini (dan) cara baharu, dipercepatkan macam prakelayakan. Kalau nak buat sama ada reka bentuk binaan atau tender terbuka konvensional, ia akan makan masa yang sangat lama. Lagipun, pihak pembangkang juga bertanya bila nak mula projek RTB dan kita pun tahu projek ini sangat penting untuk rakyat, jadi kita nak percepatkan,” katanya lagi.