Kerajaan umum bantuan khas kepada penjawat awam RM700, pesara RM350

Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam sebanyak RM700 dan pesara kerajaan RM350 yang akan melibatkan sejumlah RM1.3 bilion.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat dan mengharapkan bantuan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

“Bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM700 dan 1 juta pesara kerajaan sebanyak RM350 dengan implikasi Kewangan sebanyak 1.3 bilion ringgit.

“Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mengumumkan gantian cuti rehat (GCR) dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari dan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari.

“Kemudahan ini mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak,” jelasnya lagi.

Langkah tersebut menurut Zafrul bertujuan menghargai jasa penjawat awam terutamanya barisan hadapan tetap komited kepada tugasannya dan antaranya tidak berpeluang bercuti.

Tengku Zafrul juga mengumumkan kerajaan akan memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan atas jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, OKU dan pesakit mental.

Selain itu, Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis (atau PVR) juga dinaikkan daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai; dan daripada RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota yang akan bakal memanfaatkan hampir 10 ribu PVR.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM365 juta bagi menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Bajet 2022 bertema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” yang dibentang hari ini merupakan terbesar dalam sejarah negara yang bernilai RM332.1 bilion.

BERITA BERKAIT
POPULAR