
Menteri Besar kerajaan UMNO-DAP Perak Datuk Seri Saarani Mohamed mengharapkan Menteri DAP Nga Kor Ming boleh menyelesaikan masalah projek perumahan di Perak.
Kerajaan Perak yang ditadbir UMNO dan DAP menutup 27 anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang dikatakan menjadi beban kepada syarikat induk, tanpa memaklumkan apa yang berlaku kepada ratusan kakitangannya.
Tindakan itu diambil setelah anak syarikat terbabit didakwa tidak mampu memberi sumbangan kepada pendapatan kerajaan negeri menjelang 2030, sebagaimana yang diharapkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia selaras dengan unjuran agar anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dapat memberi sumbangan RM100 juta kepada kerajaan negeri menjelang 2030.
Menurutnya anak-anak syarikat itu ditutup kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik, tiada perniagaan dan tidak dapat memberi sumbangan balik kepada kerajaan negeri, sebaliknya, membebankan syarikat induk.
“Kita nak beri peluang kepada syarikat induk untuk betul-betul ada perniagaan, bukan setakat mewujudkan anak syarikat,” katanya lapor Awani ketika ditemui selepas majlis pelancaran projek Piccadilly @ Greentown, di Ipoh, hari ini (24 Januari 2023).
Bagaimanapun Menteri Besar kerajaan UMNO-DAP itu tidak menyatakan sama ada pekerja dan kakitangan anak syarikat itu diberhentikan terus atau diserap ke dalam GLC lain.
Mengulas mengenai projek perumahan terbengkalai di Perak, Saarani berkata menyerahkan kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk mencari jalan penyelesaian.
“Ada beberapa syarikat yang tidak dapat meneruskan projek mereka selepas Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik Covid-19,” katanya.
Terdahulu, Kor Ming merancang membawa masuk pakar perumahan dari nasihat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura ke dalam kementeriannya bagi membantu menangani masalah perumahan yang dihadapi di Malaysia, tanpa mengambil kira faktor keselamatan dan keberadaan pakar tempatan.
Rancangan itu mendapat kecaman daripada bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim, yang turut bimbang kampung tradisi Melayu akan dilenyapkan oleh DAP atas nasihat Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura.
Iszuree dalam kenyataannya baru-baru ini, mengimbas kembali sejak kali pertama menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008, dengan mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang kerap meminta nasihat PAP bagi melaksanakan perancangan ‘pecah dan perintah’ di negeri itu.
“Kini Menteri DAP KPKT secara terang dan terancang menjemput HDB Singapura masuk. Apa akan jadi dengan Tanah Rizab Melayu di Tanah Melayu?” soal Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang itu.