
Janji mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dałam manifesto Pakatan Harapan.
Setakat ini, kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tiada ketetapan dibuat setakat ini untuk memansuhkan undang-undang tersebut dan warga universiti tidak diberi autonomi untuk mengundi Naib Canselor mereka susulan keputusan kerajaan tidak memansuhkan AUKU.
“Memandangkan kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU, maka amalan sedia ada lantikan Naib Canselor UA diteruskan seperti sebelumnya, iaitu pelantikan Naib Canselor sesebuah UA dilakukan oleh menteri dengan mengikut prosedur serta ketetapan akta diluluskan oleh Parlimen, iaitu AUKU 1971,” katanya di Dewan Rakyat.
Untuk rekod, Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya semasa berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terdapat janji untuk memansuhkan AUKU.
Namun, sekarang PH sudah membentuk kerajaan campuran bersama UMNO-Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Khaled juga tidak menolak berkemungkinan kebenaran akan diberi kepada parti politik untuk menubuhkan cawangan dalam kampus universiti.
Khaled berkata kementerian boleh menimbang langkah untuk membenarkan parti politik membuka cawangan mereka dalam universiti boleh dipertimbangkan kementerian dan dilonggarkan peraturan, malahan sekarang pun mahasiswa sudah diberi kelonggaran menyertai mana-mana parti.
“Memang kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik di dalam atau luar kampus, termasuk mereka boleh menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.
“Jadi, semua itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, pelbagai pindaan telah dilakukan terhadap AUKU meliputi aspek kegiatan pelajar, urus tadbir universiti dan sebagainya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Mersing (PN) Muhammad Islahuddin Abas bertanya sama ada KPT akan memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan politik matang, selaras dengan reformasi pendidikan.
Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) berhubung kesediaan KPT mengadakan dialog berhubung AUKU, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa sebarang kelemahan dalam akta terbabit, boleh dipertimbangkan untuk dibuat pindaan.
“Antara perkara yang kita sedang pertimbang untuk lakukan ialah meminda soal persatuan pelajar menguruskan sendiri akaun kewangannya. Itu dalam proses, dan insya-Allah akan kita cuba bawa dalam penggal Parlimen akan datang,” katanya.