
Walaupun sudah mengkritik tindakan Islamofobia yang berlaku di Sweden, namun ia masih tidak memadai dan perlu lebih banyak tekanan diberikan.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak supaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan diplomatik yang lebih keras terhadap Sweden dan tidak sekadar hanya mengeluarkan kenyataan sahaja.
“PEMBELA yang mewakili gabungan lebih daripada 50 NGO Islam membangkitkan bantahantegas terhadap tindakan membakar kitab suci al Quran oleh ahli politik Haluan Kanan, Rasmus Paludan dan sikap ‘double standard’ kerajaan Sweden dalam mengekang tindakan-tindakan Islamofobia.
“Kami ingin menyaran agar Kerajaan Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih tegas dengan tekanan-tekanan diplomatik yang wajar agar kerajaan Sweden mengambil tindakan serius terhadap golongan ekstrimis yang mengundang suasana tegang dan kebencian antara agama,” kata Pengerusinya, Mahmud Hishamuddin dalam satu kenyataan di Facebook.
Kumpulan itu juga menggesa supaya umat Islam untuk turun bagi menyatakan bantahan pada esok di kedutaan Sweden.
“Justeru, kami akan menggerakkan ahli-ahli kami untuk bersolidariti dengan NGO-NGO Islam lain dalam menyampaikan memorandum bantahan kepada kedutaan Sweden pada Jumaat ini, 27 Januari
2023.
“Kami juga menggesa seluruh umat Islam untuk bersama dalam usaha ini supaya keadilan dalam menegakkan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia tidak dicemari dengan elemen-elemen tindakan ‘double standard’ dan kebencian melampau seperti yang berlaku di Sweden ini dibiarkan oleh pihak pemerintah,” katanya.
Esok, PAS menganjurkan himpunan solidariti anjuran Dewan Ulama PAS Pusat bagi membantah penghinaan terhadap agama Islam oleh seorang pemimpin politik Sweden, baru-baru ini.
Sabtu lalu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, membakar al-Quran dengan pemetik api.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).