
Tan Sri Noh Omar.
Tan Sri Noh Omar menyifatkan langkah kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO menarik balik rayuan dalam kes penggunaan kalimah Allah adalah tidak sepatutnya berlaku dan tidak wajar sama sekali.
Bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 2004 itu menyokong gesaan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar isu ini seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan.
“Sesungguhnya juga, Saya menyokong kenyataan MAIS bahawa isu ini seharusnya dibawa ke pengadilan di Mahkamah Rayuan.
“Sehingga ke Mahkamah Persekutuan untuk pengadilan. Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mencari jalan penyelesaian mengenai Isu Kalimah Allah ini.
“Dan sekiranya keputusan Mahkamah tidak memihak kepada Rayuan KDN (Kerajaan Persekutuan) maka Kerajaan Madani boleh meminda Undang-Undang yang sedia ada agar perkataan Kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat, hanya boleh digunakan oleh Orang-Orang Islam sahaja atau membuat undang-undang baru yang mempunyai maksud yang sama.
“Walaupun undang-undang tersebut berkemungkinan hanya terpakai di Wilayah Persekutuan tetapi ianya boleh dijadikan panduan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk meminda atau membuat enactment yang baru berkaitan dengan Isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini di Facebook.
Noh yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (ketika itu dikenali Keselamatan Dalam Negeri) sekitar 2005 bertindak membuat keputusan tidak membenarkan kemasukan satu kontena dari Indonesia yang mengandungi Kitab Injil menggunakan perkataan Kalimah Allah, yang di tulis dalam Bahasa Indonesia berada di Pelabuhan Klang.
“Saya telah mengarahkan agar Kontena tersebut tidak dibenarkan masuk kedalam negara kita.
“Saya merasakan ini mungkin merupakan satu perancangan yang dirancang oleh pihak tertentu untuk mengimport bahan bacaan yang berbentuk dakwah bagi sesuatu Agama yang tertentu, yang boleh mengelirukan akidah umat Islam,” katanya lagi.
MAIS terdahulu menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan campuran yang menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, Isnin lalu melibatkan isu kalimah Allah.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan kes itu bukan soal isu pentadbiran dan keselamatan tetapi turut melibatkan akidah orang Islam serta pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa raja sebagai ketua agama negeri.