
Sesetengah daripada aspek GST memberikan impak negatif terhadap kumpulan berpendapatan rendah.
Kerajaan harus mencari alternatif untuk meningkatkan hasil daripada melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau berkata, keadaan ekonomi semasa menyebabkan kuasa beli yang rendah, kadar pengangguran yang tinggi dan harga barangan yang melambung tinggi.
“Adakah dasar yang betul untuk kerajaan uruskan dengan memperkenalkan semula GST? Kita pernah mencuba GST semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana ramai orang merungut mengenainya. Dan pada masa itu ekonomi tidak seteruk sekarang.
“Jika kerajaan tahu mereka memerlukan wang, mereka tidak seharusnya menggunakan GST semata-mata untuk meningkatkan hasil negara.
“Tetapi, (antara lain) kita boleh mengurangkan beban negara dengan mengurangkan projek mega yang tidak mempunyai kesan berganda besar kepada ekonomi kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu di Kota Kinabalu, hari ini seperti dilapor media tempatan.
Beliau berkata kerajaan juga harus mengurangkan perbelanjaan lain termasuk perjalanan ke luar negara, sebagai langkah berjimat.
Sekiranya GST dikuatkuasakan semula, Mohd Shafie berkata cukai itu hanya perlu dikenakan ke atas barangan terpilih bagi mengelak rakyat daripada mengalami beban kewangan yang lebih besar.
Malaysia beralih kepada sistem GST ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekali gus dikatakan antara penyumbang kepada kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran selepas PH menerajui kerajaan, membatalkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Namun, kini Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerajui pentadbiran negara bercadang memperkenalkan semula sistem cukai yang pernah dilaksanakan itu.
Mengenai konsensus kerajaan Sabah untuk merekodkan data biometrik dan mengeluarkan kad kepada warga asing tanpa izin, Mohd Shafie berkata pelaksanaan itu perlu dijalankan secara telus bagi mengelak kemungkinan manipulasi.
Mohd Shafie berkata beliau memahami sebab di sebalik dokumentasi warga asing adalah untuk memenuhi keperluan tenaga buruh dalam sektor tertentu.
Keputusan itu dibuat berikutan mesyuarat dewan bandaran di sini pada 2 Jun dengan majoriti 140 wakil daripada kerajaan dan pembangkang, badan bukan kerajaan dan ketua anak negeri menyokong pengeluaran kad warga asing dan pengumpulan data digital biometrik ke atas pendatang asing di Sabah.
Terdahulu, Mohd Shafie berkata pemilihan parti itu akan diadakan bermula bulan ini dengan dijangka siap pada awal Ogos dan beliau bersedia menghadapi cabaran jika ada yang mahu menentangnya bagi jawatan Presiden Warisan.