Kerajaan tak halang beli vaksin sendiri asalkan lulus NPRA

Dakwaan mengatakan kerajaan menghalang mana-mana pihak untuk membeli vaksin Covid-19 secara sendiri adalah tidak benar namun ia mesti mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menegaskan pembelian vaksin tersebut bagaimanapun perlu mengikut proses yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dan tidak boleh dibeli secara curi-curi bagi menjaga kualiti serta keselamatan vaksin tersebut.

“Katalah sesetengah agensi, misalnya Petronas dan sebagainya (hendak membeli), kita tak boleh halang.

“Syaratnya ia mesti diuji selamat (oleh NPRA) dan kenalah ada lesen… tak boleh curi-curi, seludup bawa masuk,” katanya dalam bicara khas malam tadi lapor Bernama.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga berkata pihaknya sedang berusaha membekalkan vaksin kepada hospital dan pihak swasta bagi mempercepat proses pemberian vaksin kepada rakyat.

“Dia (proses vaksin di fasiliti swasta) tak kena caj pasal ia tanggungan kerajaan.

“Kita minta mungkin hospital itu boleh caj RM14 (dibiayai kerajaan) sekali suntikan macam tu dan vaksin tu percuma,” ujarnya lagi.

Muhyiddin juga melahirkan keyakinan bahawa sasaran mewujudkan imuniti kelompok di negara ini akan dapat dicapai berikutan jaminan penghantaran bekalan vaksin yang ditempah akan tiba sebelum akhir tahun ini.

“Saya diberitahu oleh menteri (berkaitan), bekalan ini (vaksin) dah mula sampai bahkan saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual.

“Dahulu kalau jadualnya tahun depan, 2022 baru dapat selesai, tetapi sekarang ini saya telah diberi jaminan katanya sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan,” katanya lagi.

Bagi melancarkan proses vaksinasi, Muhyiddin berkata lebih 600 pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan setakat ini dengan PPV mega di Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang boleh memuatkan 8,000 orang.

Katanya kerajaan juga menyasarkan seramai 150,000 orang mampu divaksin setiap hari tidak lama lagi dengan kemudahan PPV yang ada.

Beliau juga berkata Malaysia akan mengikut panduan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin berhubung tempoh selang masa antara suntikan pertama dan kedua dalam proses pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat.

“Saya dinasihatkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan) kita ikut cara yang diberi oleh pengeluar vaksin.

“Contohnya Pfizer tetapkan buat suntikan kedua lepas 21 hari, jadi kita ikut kata dia (Pfizer) kerana mereka ada pakar yang telah membuat kajian kenapa perlu disuntik selepas 21 hari, kita tidak ada masalah dengan ini,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR