Kerajaan tak akan layan tuntutan Asyraf desak pengeluaran KWSP

Desakan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang mendesak supaya kerajaan membenarkan sekali lagi pengeluaran RM10,000 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan dilayan.

Ketua Pemuda UMNO itu sebelum ini memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu KWSP tetapi kini kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak akan tunduk kepada pengikut setia bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah menjelaskan punca kerajaan tidak akan dapat melayani tuntutan Asyraf itu kerana sejumlah RM101 bilion sudah dikeluarkan daripada tabungan untuk persaraan itu melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang diperkenalkan bagi membantu pencarum yang terkesan akibat penularan Covid-19 sebelum ini.

Berikutan kebenaran yang diberikan sebelum ini, beliau berkata, kira-kira 73 peratus daripada ahli KWSP ketika ini tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara nanti.

“Daripada 15.1 juta ahli KWSP, 6.1 juta mempunyai baki simpanan kurang RM10,000 dan 3.6 juta mempunyai baki kurang RM1,000. Ini tentunya amat membimbangkan dan kerajaan perlu melindungi masa depan ahli, terutama selepas persaraan bagi mengelakkan isu sosial yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya dipetik dalam laporan BH.

Untuk rekod, semua inisiatif pengeluaran KWSP tersebut adalah hasil kesungguhan kerajaan PN dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengenai dakwaan golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) tidak banyak mendapat manfaat dalam Bajet 2022, beliau berkata, biarpun bukan dalam bentuk bantuan tunai seperti dinikmati golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40), M40 bakal menikmati pelbagai pelepasan cukai tahun depan.

“Jika dikumpulkan, M40 boleh menikmati pelepasan cukai sehingga RM8,500 melalui Bajet 2022, yang sudah tentu memberi kelegaan kewangan ketika berdepan cabaran susulan penularan COVID-19 ketika ini.

“Sebenarnya Bajet 2022 tidak mengetepikan M40, sebagai pembayar cukai, pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan akan memberi manfaat kepada mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, Asyraf dan pergerakan itu beria-ia memberi janji manis kepada puluhan ribu individu berkenaan pengeluaran one-off itu, namun ternyata ia tidak disebut langsung dalam Bajet 2022.

Asyraf begitu yakin bahawa kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri akan mendengar desakan Pemuda bagi meluluskan pengeluaran i-Citra one-off itu.

Sebab itu, apa sahaja pertemuannya dengan KWSP, Menteri Kewangan, hatta dengan Perdana Menteri sekali pun, dimuat naik dalam laman sosialnya bagi memberi harapan kepada orang ramai.

Sebelum pembentangan Bajet 2022 semalam, boleh dikatakan setiap hari netizen disajikan dengan keyakinan akan dapat membuat pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP.

Tak berkelip mata netizen menunggu depan televisyen untuk mendengar Bajet 2022. Fokus mereka kepada pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off sebagaimana yang diuar-uarkan Asyraf dan Pemuda UMNO.

Namun, sehingga ke penamat ucapan Tengku Zafrul, i-Citra tidak juga muncul. Walaupun, Menteri Kewangan menyentuh juga sedikit mengenai KWSP tetapi bukan one-off RM10,000.

BERITA BERKAIT
POPULAR