Kerajaan setuju mansuh hukuman mati mandatori

June 10, 2022 · Isu semasa

Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas, lapor Bernama.

“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu,” katanya.

Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum dan dianggotai pakar bidang perundangan seperti bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang daripada Institusi Pengajian Awam terkemuka dan pakar kajian jenayah.

Beliau berkata Jemaah Menteri juga bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

Wan Junaidi berkata kajian lanjut itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian atau jabatan berkepentingan.

Beliau berkata tindakan itu adalah amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip kekadaran dan keperlembagaan mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti.

Kerajaan juga katanya akan turut mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini, antaranya seperti pewujudan prosedur prapenghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman dan pembangunan Garis Panduan Penghukuman.

Turut akan dikaji ialah penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan prinsip keadilan restoratif.

“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan memastikan hak semua pihak terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam penghasilan laporan kajian berkenaan yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif.

Berita berkaitan
DAP semakin berani disebabkan UMNO hanya ‘penumpang’ dalam kerajaan
February 13, 2024· Politik
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
PN tiada dana untuk mulakan langkah tukar kerajaan, kata Hadi
January 5, 2024· Politik
Projek HSR: Saman terhadap empat tokoh politik dibatalkan mahkamah
December 15, 2023· Isu semasa
Popular
Ceroboh ruang udara: Malaysia kemuka bantahan, panggil Duta China
June 1, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
[KEMAS KINI] Najib pecat peguam cara firma guaman Zaid Ibrahim
August 19, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok