Kerajaan setuju lupus 80 peratus pinjaman peneroka, kata Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Para peneroka peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerima perkhabaran baik hari ini apabila Putrajaya bersetuju secara dasar untuk melupuskan sebahagian pinjaman mereka yang bernilai RM8.3 bilion.

Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu dan ia akan mengurangkan bebanan pinjaman setiap peneroka secara purata sebanyak 80 peratus.

“Purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 ke RM1,000 kepada hanya RM250 ke RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar mereka,” katanya.

RTM hari ini menyiarkan amanat PM bersempena sambutan Hari Peneroka hari ini.

Jelasnya lagi, penjanaan semula Felda itu antara strategi serampang tiga mata iaitu Restart, Revitalise dan Reform bagi mengembalikan Felda menjadi syarikat perladangan terulung dunia seterusnya tersenarai sebagai antara syarikat global paling berjaya seperti di dalam Fortune Global 500.

Langkah tersebut diambil melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal.

Beliau berkata pelupusan bersyarat ini merangkumi, antaranya, pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019, berjumlah RM8 bilion, yang akan memberi manfaat kepada 92,441 orang peneroka atau 82 peratus daripada keseluruhan 112,638 warga peneroka.

Untuk memperkasakan atau ‘revitalise’ Felda sehingga kembali berdiri teguh, Muhyiddin berkata kerajaan juga telah meluluskan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion bagi menambah baik model perniagaannya.

Menurutnya, sebahagian terbitan sukuk ini sedang digunakan untuk menstruktur semula pinjaman dengan institusi kewangan serta untuk mengambil alih FGV Holdings Bhd.

PM turut melahirkan keyakinan bahawa penstrukturan semula pinjaman tersebut akan mengembalikan fokus Felda terhadap usaha pemerkasakan perniagaan terasnya.

“Persetujuan Kabinet terhadap cadangan Pasukan Khas sebelum ini juga telah membolehkan Felda meningkatkan pegangan saham dalam FGV sehingga 81.3 peratus.

“Saya difahamkan, perkembangan ini akan mewujudkan satu sinergi perladangan yang akan melonjakkan produktiviti seterusnya keuntungan Kumpulan Felda,” katanya.

Di samping itu, katanya, peningkatan penglibatan Felda dalam industri hiliran yang mempunyai nisbah keuntungan lebih tinggi pula akan membolehkan kumpulan tersebut mencapai sasarannya untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2023.

Felda juga, katanya, telah mula melaksanakan sistem pertanian pintar bagi menguruskan 458,000 hektar ladangnya dan peneroka di seluruh negara dengan menggunakan konsep pertanian jitu selari dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0.

Muhyiddin yakin dengan kerjasama warga Felda sistem tersebut mampu menambah baik operasi perladangan menerusi pemantauan dan pengumpulan maklumat lebih terperinci dan menjimatkan kos operasi sehingga lebih RM200 juta dalam masa lima tahun.

POPULAR