Kerajaan Selangor sahkan jual vaksin kepada syarikat, bukan individu

Kerajaan Selangor menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang sedang dilaksanakan hanya menjual vaksin kepada syarikat dan bukan individu, ia bagaimanapun tidak memperincikan jumlah kos untuk setiap vaksin dijual tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program Selvax hanya terbuka kepada syarikat terlibat dalam sektor perkilangan dan industri memandangkan peningkatan kluster membabitkan dua sektor tersebut di negeri itu.

“Dengan memberikan vaksin kepada pekerja kilang dan industri, kita dapat mengawal dan mengurangkan kadar perebakan Covid-19, secara tidak langsung akan melindungi kita semua.

“Bagaimanapun, Selvax Industri hanya terbuka kepada syarikat dan tidak dijual kepada individu,” katanya dipetik portal Selangorkini dalam pengumuman khas secara maya hari ini.

Jelasnya, syarikat yang terlibat dalam program tersebut tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj terhadap pekerja mereka dan perlu ditanggung sepenuhnya majikan.

“Penting untuk dinyatakan di sini, syarikat yang mengambil bahagian tidak dibenarkan untuk mengenakan sebarang kos ke atas pekerja mereka.

“Ini termaktub dalam perjanjian dan borang persetujuan. Tindakan undang-undang boleh diambil kepada majikan yang mengenakan caj bayaran kepada pekerja,” katanya lagi.

Sebelum ini, Agenda Daily melaporkan berlegar-legar dalam media sosial apabila beberapa individu yang menerima vaksin dimohon menerusi aplikasi tersebut membayar sebanyak RM350 untuk mengambil suntikan vaksinasi.

Seorang individu memuat naik gambar atas platform Facebook menerima suntikan vaksin jenis Sinovac di pusat pemberian vaksin (PPV) yang dikendalikan oleh pengendali aplikasi, SElangkah di Evomall, Bangi dengan status menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin menerusi aplikasi tersebut.

Untuk rekod, semakan dalam aplikasi SElangkah pada bahagian FAQ tidak menyatakan amaun atau caj yang dikenakan kepada individu mengambil vaksin dibawah program tersebut.

Bagaimanapun sehingga hari ini, tiada penjelasan berhubung isu caj RM350 yang dikenakan oleh kerajaan Selangor tersebut.

Untuk rekod, Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kes tertinggi hampir setiap hari berbanding negeri-negeri lain, hari ini sahaja sebanyak 2,836 kes baharu direkodkan di Selangor.

BERITA BERKAIT
POPULAR