
Kerajaan sedang dalam usaha merangka penambahbaikan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata perkara itu bakal dibentangkan dalam masa terdekat.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) juga mengambil bahagian dalam sesi libat urus untuk membantu dalam usaha ini (penambahbaikan SOSMA).
“Pastinya isu memperbaiki SOSMA termasuk perihal jaminan sedang dikaji secara teliti dan perkembangan akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bertanya soal penambahbaikan SOSMA pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023.
Ketika membahaskan hal tersebut Rayer meminta Ramkarpal dan kerajaan mempertimbangkan kebenaran jaminan kepada tertuduh yang didakwa di bawah SOSMA sementara menunggu prosiding kes masing-masing selesai dibicarakan di mahkamah.
Pada sesi sama, Rayer turut mengesyorkan jaminan kepada tertuduh diberikan dengan syarat ketat seperti menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan mempercepat pindaan terhadap SOSMA.