Kerajaan Sabah tak tahu ada pihak mahu beri sumbangan vaksin

Isu berhubung sebuah syarikat yang mahu menderma 3.9 juta dos vaksin sehingga menyebabkan kerajaan DAP Pulau Pinang tertipu, menjadi semakin menarik apabila kerajaan Sabah pula tidak mengetahui mengenai tawaran kepada mereka.

Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menjelaskan beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan seorang individu Yong Chee Kong yang ingin menderma vaksin Covid-19 kepada kerajaan negeri.

Sebelum ini, Yong mendedahkan dia tidak menulis surat permohonan kebenaran membeli vaksin kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebaliknya surat itu ditulis oleh DAP Pulau Pinang.

Dia menjelaskan Kerajaan DAP Pulau Pinang ada menghubunginya untuk mendapat sumbangan dan bukan pihaknya yang menghubungi kerajaan negeri itu.

Berasa tertipu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyindir Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula menuding jari kepada syarikat Yong.

Memetik laporan The Borneo Post hari ini, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan beliau tidak tahu sebarang perkara mengenai dakwaan Yong yang ingin menderma vaksin Covid-19 kepada Sabah.

“Saya tidak ada sebarang komen mengenai perkara ini kerana saya tidak tahu terdapatnya hasrat sumbangan berkaitan perkara ini,” katanya.

Baru-baru ini Yong yang berasal dari Sabah mendakwa, surat permohonan pertama telah dihantar kepada kerajaan Sabah untuk menderma vaksin berjumlah 3.9 juta dos itu dan ianya dihantar sekitar awal tahun ini, namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Semalam, Yong berkata Kerajaan Pulau Pinang menghubunginya untuk mendapatkan sumbangan itu, tetapi perlu mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

Yong juga menjelaskan bahawa surat yang mempunyai tandatangannya ditulis oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam bentuk surat tawaran rasmi tetapi tidak meletak alamat syarikat sebaliknya menggunakan alamat kediamannya.

“Saya tidak menulis surat itu, ini yang bos saya di Hong Kong mahukan, ia tidak sepatutnya guna alamat saya,” katanya kepada Malay Mail.

Bagaimanapun, vaksin jenis Sinovac yang mahu didermakan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang belum dapat dibeli berikutan pihaknya belum mendapat kelulusan dari kerajaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

BERITA BERKAIT
POPULAR