Kerajaan rancang kurangkan 181 SOP kepada 10: Hishammuddin

Kerajaan sedang berusaha memperkemas prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 sedia ada daripada 181 kepada 10 sahaja yang merangkumi keempat-empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Langkah itu bagi memudahkan rakyat, pihak industri dan penguat kuasa lebih memahami SOP berkenaan, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Langkah memperkemas SOP yang telah diguna pakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa namun kerajaan komited untuk menyelesaikannya sebelum peralihan ke fasa endemik,” katanya pada sidang media mengenai hasil Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19.

Hadir sama pada sidang media di bangunan Parlimen itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Hishammuddin berkata, bagi menentukan bagaimana SOP sedia ada dapat diperkemaskan, kerajaan bukan hanya mengambil kira data sains khususnya daripada Kementerian Kesihatan (KKM), tetapi juga maklum balas serta pandangan daripada pakar-pakar dan golongan industri.

“Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan dari masa ke masa, kita mungkin akan mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk menyelesaikannya,” katanya sambil menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik telah bersetuju untuk membenarkan beberapa kelonggaran baharu yang dinilai berada pada tahap risiko rendah.

Beliau berkata dalam menetapkan kelonggaran tersebut, kerajaan mengambil kira tekanan, kepenatan dan kelesuan rakyat selepas lebih setahun berada dalam situasi pandemik yang membataskan aktiviti dan pergerakan.

“Situasi ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana berisiko membawa kepada kesan yang lebih serius terutama menjejaskan kesihatan mental. Perdana Menteri akan mengumumkan beberapa kelonggaran tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi dalam masa terdekat nanti,”katanya.

Mengenai pembukaan lebih banyak sektor pelancongan negara, Hishammuddin berkata ianya akan bergantung kepada kejayaan Gelembung Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi.

Justeru, beliau menegaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu membuktikan projek rintis itu berjaya, bagi meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Beliau berkata menerusi projek rintis itu Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 mahukan MOTAC menggariskan prosedur operasi standard (SOP) yang betul-betul boleh dipatuhi rakyat dan pemain industri, termasuk keperluan membuat ujian saringan Covid-19 sebelum melancong untuk mengelak peningkatan penularan wabak itu.

“Apa yang penting sekali, mereka yang pergi ke Pulau Langkawi perlu berdisplin (mematuhi SOP) dan telah menerima vaksin. Sekiranya projek ini (Pulau Langkawi) gagal, kita tidak akan buka tempat lain (pelancongan).

“Ia menjadi tanggungjawab Nancy (Datuk Seri Nancy Shukri) dan MOTAC untuk membuktikan kepada kami bahawa mereka boleh lakukan di Langkawi sebelum dibuka tempat-tempat lain,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR