Kerajaan PN masih sah ikut undang-undang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sah mengikut undang-undang negara.

Beliau berkata perkara itu juga telah dijelaskan oleh penasihat undang-undang kerajaan iaitu Peguam Negara Tan Sri Idris Harun setelah diminta memberi pandangannya.

“Kerajaan PN masih sah mengikut perundangan malah kepimpinan yang menerajui negara berjalan seperti biasa, kata hari ini.

Beliau berkata kerajaan sudah meminta pandangan Peguam Negara bagi mendapatkan pencerahan dari sudut perundangan mengenai kedudukan kerajaan itu pada 8 Julai lalu.

“Peguam Negara menyatakan bahawa kerajaan yang ada ketika ini adalah kerajaan yang sah dalam perlembagaan dan undang-undang. Kerajaan juga berjalan seperti biasa.

“Kenyataan Peguam Negara itu jelas mencerahkan bahawa yang menentukan sebuah kerajaan itu adalah Ahli-Ahli Parlimen dan setakat ini, kerajaan maklum tiada seorang pun lagi yang menyatakan mengikut undang-undang bahawa mereka menarik diri daripada menyokong kerajaan,” katanya.

Beliau diminta mengulas kedudukan kerajaan PN selepas UMNO memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ditanya pendirian PAS berhubung keputusan UMNO itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata pihaknya tetap dengan pendirian untuk memperkasa Muafakat Nasional (MN) serta mempertahankan PN.

“Ini kerana kerajaan (PN) dibina bersama parti-parti yang menyokong dan bukan satu tetapi lebih daripada 10 parti yang menyokong kerajaan yang ada kini. PAS tidak nampak ada satu masalah untuk mempertahan kedudukan kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR