Kerajaan PKR Selangor masih berdegil walaupun pakar nasihat PKP penuh

Meskipun pakar Kesihatan Awam telah membuat gesaan supaya segera dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh terutamanya di negeri yang mencatatkan kes tinggi Covid-19, seperti Selangor namun sehingga ke hari ini kerajaan negeri naungan PKR itu masih berdegil dan enggan berbuat demikian.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman, pelaksanaan itu perlu disegerakan kerana jika lambat bertindak ia akan memberi kesan yang lebih dahsyat.

“Pada pandangan saya, kita tidak boleh menunggu lagi untuk beberapa ketika sebelum mengambil keputusan drastik sedemikian kerana data telah menunjukkan peningkatan jangkitan Covid-19 yang konsisten di kebanyakan negeri,” katanya lapor Sinar Harian.

Tambahnya, beliau juga turut mengesyorkan pintu keluar masuk negara ditutup sementara kecuali pada kes-kes yang melibatkan kepentingan negara.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Dr Malina turut mencadangkan beberapa langkah bagi mengurangkan kes kematian akibat Covid-19.

Menurutnya, antara inisiatif yang boleh dilakukan adalah melalui program promosi kesihatan, memberdayakan masyarakat melalui penggunaan alat perlindungan khas serta pengesanan jangkitan dengan lebih awal.

“Nyawa dan kesihatan perlu dipertahankan untuk mengelakkan kadar kematian yang tinggi. Dari segi perubatan, setiap nyawa adalah sangat bernilai,” katanya lagi.

Dalam pada itu menurut satu tinjuan mendapati rakyat di negeri Selangor mendesak kerajaan negeri segera melaksanakan PKP penuh susulan peningkatan kes Covid-19.

Rata-rata mereka menyuarakan rasa bimbang dan menyatakan PKP penuh seperti tahun lalu perlu dilaksanakan seketika bagi menghentikan penularan wabak tersebut.

Seorang peniaga, Shawaludin Kamdi, 35, berkata, PKP penuh seperti Mac tahun lalu adalah cara terbaik untuk kerajaan mengelak kes jangkitan Covid-19.

Selangor pada 18 Mei 2021 terus mencatat angka tertinggi kes Covid-19 dengan 1,743 dan 18 kematian dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengah hari.

Daerah Petaling terus mencatat kes tertinggi di Selangor dengan 459 kes diikuti Hulu Langat (437), Gombak (246), Klang (237), Kuala Langat (137), Sepang (76), Kuala Selangor (68), Hulu Selangor (45), dan Sabak Bernam (35).

POPULAR