Kerajaan PKR Selangor gagal tangani kes naik, Menteri cadang laksana PKP penuh

Susulan kegagalan Kerajaan PKR Selangor bersama pasukan khasnya menangani peningkatan jangkitan kes Covid-19, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di negeri tersebut.

Menteri Kesihatan itu berkata terdapat asas untuk melaksanakan PKP lebih ketat di Selangor memandangkan jumlah kes jangkitan tertinggi setiap hari yang dicatat datang dari negeri tersebut.

“Pada peringkat awal, PKP di Selangor melibatkan enam daerah, tapi kemudian diperluaskan di seluruh negara. Ia melarang (pergerakan) rentas daerah.

“PKP membolehkan KKM membuat lebih banyak ujian dan pengesanan (kontak), serta kerjasama dengan kerajaan negeri yang mengadakan ujian RTK Antigen di kawasan dengan penularan yang tinggi dan percepatkan pengesanan kontak,” katanya semasa sidang media dalam talian hari ini.

Untuk rekod, Kerajaan Selangor sebelum ini dengan bangga mengumumkan peruntukan besar bernilai RM400 juta untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Jelas Adham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menimbang untuk melaksanakan PKP penuh di Selangor apabila kerajaan negeri dilihat tidak mampu menguruskan jumlah kes yang saban hari meningkat disamping kelemahan menyekat penularan yang merebak dengan semakin pantas di negeri itu.

“(Namun) Saya setuju kita perlu cadangkan kepada kerajaan prosedur operasi standard (SOP) dan PKP yang lebih ketat, selepas melihat ketidakupayaan (pendekatan semasa) untuk mengekang (penularan).

“Pelaksanaan PKP secara penuh adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya lagi.

Pada masa ini, Selangor terus mencatatkan jumlah kes baru yang tinggi walaupun setelah penguatkuasaan PKP di seluruh negara sejak 12 Mei lalu.

Kes jangkitan baharu hari ini kembali meningkat dengan sebanyak 4,446 kes dengan Selangor masih mendahului statistik jangkitan baharu harian sebanyak 1,650 kes.

BERITA BERKAIT
POPULAR