Kerajaan PKR Selangor akui beli vaksin untuk pekerja kilang bukan rakyat

Syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd diamanahkan untuk urus niaga pembelian vaksin, dan separuh daripada kos akan ditanggung Kerajaan Negeri Selangor.

Vaksin Covid-19 dibeli oleh Kerajaan PKR Negeri Selangor akan dijual kepada pihak kilang untuk disuntik kepada pekerjanya dan bukan diberikan percuma kepada rakyat negeri tersebut walaupun setiap hari merekodkan jangkitan harian tertinggi.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud yang berkata terdapat lebih sejuta pekerja dalam sektor berkenaan yang berisiko dijangkiti Covid-19 dan pihak majikan sedia membeli vaksin melalui Kerajaan Negeri Selangor.

“Kita tahu pihak majikan sanggup membeli vaksin dan kerana mereka nak cepat kerana mereka yang paling belakang menerimanya dan mungkin akibat jangkitan ini, kilang mereka dibuka dan ditutup. Setiap kali kilang mereka tutup, maka kerugian banyak kepada mereka dan rakyat.

“Satu kumpulan lagi ialah rakyat dan warga emas di rumah orang tua. Kita juga ada kumpulan pelarian, dan sebagainya. Kita nak capai 80 peratus untuk komuniti imuniti berkelompok,” katanya dalam sidang media yang disiarkan dalam Facebook hari ini.

Syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd telah diamanahkan untuk urus niaga pembelian vaksin, dan separuh daripada kos akan ditanggung Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Dr Siti Mariah juga berharap kerajaan pusat dapat melihat semula kadar peratusan pemberian vaksin di Selangor yang dilihat lebih rendah berbanding dengan negeri-negeri lain.

Ia berikutan katanya, dengan situasi COVID-19 di Selangor, kerajaan pusat sepatutnya memberi tumpuan kepada negeri berkenaan.

“207,000 Negeri Selangor divaksin atau 3.3 peratus divaksin, lebih rendah dari Kuala Lumpur, Labuan, Melaka, dan sebagainya.

“Kita tahu yang duduk di Lembah Klang adalah mereka dari luar yang balik ke negeri mereka dan kembali semula ke Selangor. Jadi saya harap kerajaan ber perhatian kepada fakta ini bahawa kita kena tumpu vaksin di Selangor, dan Kuala Lumpur juga dan ini tidak berlaku,” katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan tidak timbul isu Kerajaan Negeri Selangor tidak mendapatkan kebenaran kerajaan pusat berhubung cadangan pembelian vaksin COVID-19.

“Dari awal lagi kita tahu untuk mendapatkan vaksin, dia kena dapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Itu yang paling penting. Hanya ada tiga vaksin yang diluluskan iaitu Pfizer-Biontech, Sinovac dan AstraZeneca, semua ini juga adalah yang dibekalkan kerajaan kepada rakyat.

“Jadi tidak timbul kita perlu dapat kebenaran. Setelah mereka menunaikan perjanjian mereka dengan kerajaan pusat, bekalan apa yang telah ditempah, barulah mereka dapat melayan kita di peringkat negeri ini,” katanya.

POPULAR