Kerajaan pertimbang beri geran khas kepada PKS terjejas banjir

Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan pemberian geran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda pada Disember lalu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementerian sedang menantikan senarai nama usahawan yang terlibat daripada SME Corp, lapor Bernama.

“Kita telah meminta senarai syarikat yang terkesan daripada SME Corp dan mereka sedang mengumpulkan senarai tersebut.

“Kita tahu usahawan PKS ini mahukan geran daripada kerajaan dan kita sedang meneliti jenis geran yang boleh disalurkan,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai bencana banjir pada Persidangan Khas Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata beliau akan membawa cadangan mengenai lanjutan tempoh pengecualian faedah dan moratorium pinjaman bank kepada bank di negara ini.

Katanya ini kerana bantuan khas yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan berakhir pada 31 Januari 2022.

“Saya akan membangkitkan perkara ini dengan bank, khususnya untuk membantu mereka yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Katanya beliau juga akan berbincang dengan semua pihak yang berkaitan untuk mengadakan pelan jangka panjang bagi membina semula infrastruktur perlu berbanding membayar kos kerosakan setiap kali banjir melanda negara.

BERITA BERKAIT
POPULAR