
Setiausaha Agung Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong.
Cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini mengenai keperluan untuk menawarkan bantuan, termasuk moratorium bank kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencetuskan perbualan sama ada penangguhan dalam pinjaman bank sahaja sudah mencukupi untuk membantu industri terbabit mengekalkan perniagaan mereka.
Diiktiraf sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia, data, setakat Disember 2021, menunjukkan terdapat lebih 1.15 juta PKS di seluruh negara. Sektor itu juga menyumbang lebih 38 peratus, atau lebih RM500 bilion, kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
10 September lalu ketika mencadangkan moratorium itu, Muhyiddin berkata langkah itu perlu memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
“Sektor PMKS (Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana – PKS) penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara. Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini.
“Seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian pun. Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS,” katanya.
Susulan itu, Setiausaha Agung Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong, turut mengulas berhubung cara sektor berkenaan mengharungi ribut, dan jenis bantuan yang diperlukan untuk berkembang maju dan mencapai potensi sepenuhnya dalam iklim ekonomi semasa.
Menurutnya kebanyakan PKS sudah pun menghadapi masalah berikutan Covid-19, dan cuba memulihkan apa yang mereka hilang dalam dua tahun lepas, di mana aliran tunai menjadi isu paling utama sepanjang pandemik itu.
Katanya keputusan kerajaan untuk menawarkan moratorium pada kemuncak wabak pada 2020 sangat membantu.
“Adalah baik untuk mengadakan satu lagi moratorium sekarang ini untuk PKS yang terjejas. Tetapi saya fikir Bank Negara atau bank perdagangan tidak akan bersetuju dengan perkara ini.
“Institusi kewangan ialah syarikat tersenarai awam, dan mereka bertanggungjawab ke atas prestasi mereka. Mereka tidak ada di sana untuk membantu orang ramai yang menghadapi masalah (aliran tunai). Sepatutnya kerajaan yang memimpin untuk membantu,” katanya dalam temu bual bersama Twentytwo13.
Sehubungan itu, Chin berharap pinjaman dengan kadar faedah yang rendah perlu ditawarkan kepada PKS yang memerlukan pinjaman.
“Kami tidak bercakap tentang tiga atau empat peratus kadar faedah, ia lebih kepada satu atau sifar peratu bagi menampung yuran pengurusan yang minimum. Pinjaman ini boleh dijamin atau disubsidi oleh kerajaan.
Menjawab soalan sama ada kerajaan berada pada kedudukan tepat untuk melakukan sedemikian, beliau berkata kerajaan mempunyai dana dan “bagaimana mereka mahu memperuntukkan dana ini. Saya percaya kerajaan sedang meneliti perkara ini, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.”
Mengenai PKS yang berdepan masalah aliran tunai Chin berkata jika perniagaan tidak dapat menunjukkan prestasi mereka, atau bagaimana ia merancang untuk membayar balik, maka pinjaman tidak akan diperoleh.
“Inilah sebabnya saya percaya subsidi kerajaan adalah penting, dan mereka mesti memimpin. Terdapat banyak bank kerajaan, termasuk SME Bank dan Bank Rakyat, dan bank-bank ini mampu memberikan kelulusan yang cepat.
“Mereka (syarat) tidak sepatutnya terlalu ketat. Sudah tentu, jika seseorang sedang menghadapi masalah aliran tunai, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk membayar balik pinjamannya. Sebagai contoh, pembayaran balik boleh bermula enam bulan selepas mendapat pinjaman. Kita harus menggalakkan, dan bukan mematahkan semangat PKS,” katanya.
Chin berkata sekurang-kurangya 30 peratus daripada PKS sekarang ini berdepan masalah aliran tunai yang kritikal.
“Ramai dah tutup. Lihat sekeliling anda dan anda boleh lihat banyak restoran telah bertukar nama, dan banyak kedai runcit telah berhenti beroperasi. Ini menyebabkan pengangguran dan tidak akan baik bukan sahaja untuk PKS, tetapi juga untuk negara. Ramai pemilik PKS juga menggunakan wang simpanan mereka,” katanya.
Selain itu beliau juga berkata pemberian geran pendigitalan perniagaan PKS dan geran automasi pintar oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, harus diteruskan, bagi menangani masalah pekerja sektor itu.
Menjawab soalan beliau berkata:
“Saya sering memberitahu kementerian terbabit bahawa tidak ada gunanya menawarkan geran sekiranya banyak sekatan. Ia adalah penyingkiran, terutama bagi pihak yang layak mendapat geran sedemikian.
“Proses pengauditan yang mudah sepatutnya memadai, dan bukannya membuatkan mereka menyerahkan banyak dokumen, tetapi akhirnya tidak mendapat sebarang geran. Permudahkan proses permohonan.”