Kerajaan perkukuh kerjasama pakar hadapi ancaman Covid-19: PMO

Kerajaan akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pelbagai pakar kesihatan, ekonomi dan sosial dalam menangani pandemik Covid-19 supaya tindakan kesihatan awam dan strategi pengurusan pesakit, lebih berkesan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu juga bertujuan memastikan pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan kerajaan dapat dinilai secara berterusan.

Kenyataan itu berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video hari ini, dengan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Penglibatan kumpulan profesional terutama pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi dalam pengurusan pandemik Covid-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat berkenaan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negara Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut PMO, kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran yang dihadapi, justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengutamakan kebajikan rakyat, bersifat telus dan inklusif.

Bagi memastikan kelancaran PPN, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional di bawah Kementerian Kewangan turut telah dilantik sebagai sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung.

BERITA BERKAIT
POPULAR