
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan akan melancarkan mekanisme baharu untuk menguruskan harga siling barangan berdasarkan turun naik pasaran bagi mengukuhkan keselamatan makanan negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya hari ini.
“Mesyuarat hari ini bersetuju memperkenalkan harga siling fleksibel yang akan berubah mengikut faktor input harga.
“Ini selaras dengan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan bantuan secara bersasar kepada golongan memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini, lapor Bernama.
Katanya kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian.
“Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya.
Perdana Menteri berkata mesyuarat itu membincangkan tiga perkara utama yang berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, serta menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Sementara itu Ismail Sabri berkata keputusan lain yang dipersetujui ialah usaha memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.
Koordinasi ini katanya bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.
“Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya,” katanya.
Selain itu katanya kerajaan juga akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta dengan memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan mengalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian.
“Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf,” katanya.
Tambahnya bagi memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran, program ladang kontrak akan terus digalakkan di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.
Ismail Sabri berkata kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global untuk menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.