
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan bersungguh-sungguh membantu rakyat, tatkala inflasi dan kenaikan kos sara hidup semakin membebankan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberi contoh kerajaan Republik Singapura yang menyediakan pakej bantuan bernilai S$1.5 bilion untuk kumpulan berpendapatan rendah serta mudah terjejas akibat tekanan inflasi.
“Kerajaan seharusnya bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan mengumumkan satu pakej bantuan ekonomi yang menyeluruh bagi menampung kenaikan kos sara hidup, seperti yang baru sahaja diumumkan Singapura.
“Sebanyak $1.5 bilion telah diumumkan pemerintah Singapura, termasuklah $100 pemberian kredit utiliti bagi setiap isi rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata mutakhir ini wujud pula ura-ura tarif elektrik akan dinaikkan dan jika ini berlaku ianya akan lebih membebankan lagi rakyat.
“Mutakhir ini wujud ura-ura untuk kenaikan tarif elektrik. Bagaimana pun, kita tunggu keputusan kerajaan dalam masa terdekat.
“Jika tarif elektrik dinaikkan, ia akan lebih membebankan lagi rakyat Malaysia dan kos sara hidup akan terus meningkat.
“Sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk rakyat menanggung sepenuhnya kenaikan kos sara hidup tanpa sebarang bantuan terus dari kerajaan,” katanya.
Oleh itu, menurutnya kerajaan perlu mengambil langkah sama atau lebih baik daripada Singapura dengan memberikan rebat elektrik dan air, baucar makanan asas kepada isi rumah yang layak serta bantuan lain yang wajar kepada sektor swasta.
Zahid berkata oleh kerana keadaan fiskal negara yang terhad, maka penggunaan teknologi dan pengagihan bantuan bersasar berdasarkan data yang tepat amatlah diperlukan bagi memastikan bantuan yang disalurkan tidak jatuh ke tangan yang salah atau kurang layak.
“Selain daripada itu, saya sekali lagi ingin mencadangkan agar Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat sekali lagi dengan segera agar pandangan setiap NGO, pemain industri dan sektor swasta berkepentingan dapat diambil kira dan dipertimbangkan.
“Pakej Bantuan khusus bagi menampung kenaikan inflasi atau kos sara hidup ini boleh dilakanakan sebelum pembentangan Belanjawan 2023 kerana ia begitu mustahak dan dan kritikal,” katanya.