Kerajaan laksana PKP bersasar jika kesan titik panas

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Jika sesebuah kawasan itu dikesan sebagai titik panas penularan wabak Covid-19 baharu lah pihak berkuasa akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di kawasan tersebut, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan PKP menyeluruh seperti awal dahulu apabila semua aktiviti disekat dan pendekatan baharu akan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE) yang akan digunakan.

“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan yang banyak dengan skala paling kecil ialah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

“Bagaimanapun, macam-macam kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika tiada intervensi daripada kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas raya dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos,” katanya lapor Bernama.

Kebimbangan tercetus susulan peningkatan kes baharu yang tinggi sejak kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam, malah orang ramai juga tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang berhari raya.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi ini, juga membincangkan kemungkinan PKP pada hari raya, dengan keputusannya dijangka diumumkan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi memberi rakyat membuat persediaan sebaiknya.

Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang telah membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan.

POPULAR